
KUANTAN – Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap semua calon yang menawarkan diri bertanding jawatan itu bersaing secara sihat dan menggunakan kekuatan masing-masing sebagai kelebihan dengan tidak menyerang peribadi lawan.
Hishammuddin berkata, budaya melemparkan fitnah dan tuduhan melulu sesama ahli dalam parti hanya akan melemahkan Umno dan tidak membantu usaha mentransformasikan Umno menjelang pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, dalam suasana pemilihan, kadang kala terpengaruh dengan emosi dan melakukan tuduhan melulu sesama pemimpin dan ini bukan contoh yang baik.
“Bagaimanapun, kematangan ahli dapat dilihat apabila jawatan presiden dan timbalan tidak ada pertandingan.
“Walaupun untuk jawatan naib presiden ada enam calon tampil dan ia bukan perkara unik kerana ketika saya mula menawarkan diri bertanding sebelum ini, ramai juga yang bertanding.
“Bagi saya, jika pertandingan itu secara sihat dan bersandarkan kekuatan yang ada pada calon, saya rasa tidak ada sebab untuk kita lihat parti menjadi lebih kuat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Tertutup calon Naib Presiden Umno
Bersama Barisan Kepimpinan Umno Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, semalam.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hishamuddin berkata, penambahan perwakilan daripada 2,500 sebelum ini kepada lebih 150,000 adalah peningkatan luar biasa selain mempunyai ruang untuk memilih barisan kepimpinan yang mereka mahu. – Sinar Harian Online
0 komentar:
Posting Komentar